Ketua Makmal, Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia itu berkata, bahagian hadapan baju T tanpa lengan yang dipakai Siti Aisyah dikesan terdapat VX (Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methyl­phonothiolate) namun tiada penemuan agen saraf tersebut pada skaf yang dipakai oleh tertuduh pertama kes bunuh Jong-nam.

Saksi tersebut yang menghuraikan laporan analisis makmal memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau turut me­nemukan racun agen saraf VX pada baju T bertulis LoL berwarna putih yang dipakai oleh Thi Huong.

Penandaan bahan bukti itu bagaimanapun hanya dilakukan menerusi pengecaman melalui gambar-gambar yang diambil sendiri oleh saksi itu dan sampul surat yang berisi botol mengan­dungi sampel VX tidak dibuka langsung di mahkamah pada tahap ini.

Ini kerana menurut saksi pendakwaan kelapan itu, beliau mencadangkan supaya bahan bukti berkenaan tidak dibuka di dalam mahkamah mahupun di tempat terbuka.

Namun begitu, peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah memohon agar bahan bukti tersebut dapat dibuka terlebih dahulu untuk melihat isi kandungannya sebelum dapat direkodkan sebagai bahan bukti perbicaraan.

Namun, saksi itu, 42, yang berpengalaman selama 13 tahun dalam bidang senjata kimia berkata, VX tersebut masih dalam keadaan aktif sifatnya.

Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili barisan pendakwaan kemudian mencadangkan supaya sampel tersebut hanya dibuka di Jabatan Kimia, Petaling Jaya dengan kehadiran Hakim Datuk Azmi Ariffin, pihak pendakwaan dan peguam yang terlibat dalam perbicaraan, pada Isnin ini.

Hakim Azmi bagaimanapun mengarahkan supaya perbi­caraan diteruskan dengan keterangan saksi berkenaan tanpa menyentuh keterangan mengenai barang kes tersebut.

Saksi itu yang mengkaji secara mendalam berkenaan agen saraf dalam tesis doktor falsafah (PhD) di Finland seterusnya berkata, setitis VX mengandungi 10 miligram mampu merosakkan sistem saraf yang akhirnya akan menyebabkan kematian.