Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh Sua Lay, 33, dan Gurpreet Singh, 23, kerana melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sua Lay yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Ber­satu bagi Pelarian (UNHCR) dan Gurpreet masing-masing didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman, 27, pada pukul 10.08 malam, 21 Jun lalu di tempat letak kenderaan, lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves dekat sini.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala tertuduh-tertuduh, Sua Lay yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang dan Gurpreet pula sebagai kelindan lori bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan 27 Ogos ini, sebutan semula kes bagi laporan forensik dan perubatan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, mayat Aiman ditemui kira-kira pukul 8.20 malam pada 23 Jun lalu di dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan kawasan perumahan Selayang Baru dekat sini setelah dua hari dilaporkan hilang.

Mayat pemandu berasal dari Nilai itu ditemui dalam kea­daan terlingkup di tempat duduk penumpang belakang dalam keretanya dengan bahagian kepala mengenai lantai kereta itu dan kakinya di atas.