Tertuduh, Ahmed Abdullah Ali, 24, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square pada pukul 7.35 malam 17 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap pelajar warga asing di sebuah universiti antarabangsa berkenaan dibuat di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop dan tiada pengakuan direkodkan.

Staf TM dilanggar
Seorang kakitangan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dilanggar sebuah kereta di Shaftsbury Square, Cyberjaya, baru-baru ini.

Mahkamah Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember depan bagi serahan dokumen laporan bedah siasat, laporan kimia serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili tiga Peguam Bela, Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff, Nur Siti Fairuz Roslan dan Dinesh Muthal.

Dalam kejadian pada 17 Oktober lalu, negara dikejutkan dengan insiden Wan Amirah yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan kedai Shaftbury sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, tertuduh turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu salah satu daripadanya adalah memasukkan dadah jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam dirinya pada 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Sesyen 15 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Selain itu, tertuduh turut dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelajar warga asing, Basel Giuma El Maarfi di Hyre Soho Suite, Cyberjaya pada pukul 4.45 pagi 30 Ogos lalu.

Kedua-dua pertuduhan dibuat di hadapan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin dan tertuduh mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami manakala tertuduh diwakili oleh peguam-peguam bela yang sama.

Terdahulu, dalam prosiding, Abirami berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh terlibat dalam kesalahan yang serius

Mahkamah Sesyen tidak membenarkan ikat jamin kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Disember depan. - UTUSAN ONLINE