Ahmed Abdullah Ali, 24, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori kerana dituduh membunuh Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada pukul 7.35 malam, 17 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap pelajar lelaki di sebuah universiti antarabangsa itu di sini dibuat di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop namun tiada pe-ngakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 7 Disember ini bagi serahan dokumen laporan bedah siasat, laporan kimia serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili tiga peguam, Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff, Nur Siti Fairuz Roslan dan Dinesh Muthal.

Dalam kejadian pada 17 Oktober lalu, negara dikejutkan de­ngan insiden Wan Amirah yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan kedai Shaftsbury sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Put­rajaya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Ahmed mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin atas dua pertuduhan lain iaitu melibatkan penyalahgunaan dadah dan mencederakan pelajar lain.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memasukkan dadah jenis 1-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam dirinya pada 19 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Sesyen 15(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta tersebut.

Selain itu, Ahmed dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelajar warga asing, Basel Giuma El Maarfi di Hyre Soho Suite, Cyberjaya pada pukul 4.45 pagi, 30 Ogos lalu.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan dia terlibat dalam kesalahan yang serius, selain menetapkan sebutan kes pada 7 Disember ini.