Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Bangladesh, Md. Kawsar, 21, yang didakwa telah melakukan perbuatan itu terhadap wanita berusia 35 tahun tersebut di sebuah pangsapuri di Jalan Mewah, Taman Ampang Mewah dekat sini kira-kira 8 malam, 12 Mac lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung ahli keluarganya yang berada di Bangladesh dengan gaji RM1,200 sebulan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memohon hukuman sebagai pengajaran dikenakan dengan mengambil kira gambar bogel yang dimiliki itu telah mengaibkan mangsa walhal sebagai warga asing yang bekerja di sini tertuduh sepatutnya berkelakuan baik. 

Mengikut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat ejen pembekal warga asing telah menerima mesej daripada tertuduh yang menunjukkan sebanyak lapan keping gambar bogel mangsa menerusi panggilan ‘video mesengger’ Facebook antara mereka telah dibuat paparan skrin (screenshot) tanpa pengetahuannya.
 
Mangsa menyuruh tertuduh untuk membuang gambar tersebut namun tertuduh meminta supaya mangsa menyerahkan semula pasport yang telah diberi kepada wanita itu sebagai cagaran bagi jaminan pembayaran hutang. 

Tertuduh juga telah mengugut mangsa jika enggan berbuat apa yang disuruh, dia akan terus sebarkan gambar-gambar bogel mangsa di laman Facebook. Mangsa telah membuat laporan polis kerana dia berasa malu dengan ahli keluarga dan rakan-rakan selepas diaibkan oleh tertuduh.   - UTUSAN ONLINE