Tertuduh, Md. Ismail, 27, bersama-samq B. Kamalaganthan, 31, berdepan pertuduhan pertama mencuri wang berjumlah RM12,000 milik warga Bangladesh, Mohd. Khalil dalam sebuah bangunan asrama pekerja di Forest City dekat Tanjung Langsat, Iskandar Puteri pukul 2 pagi pada 24 Oktober lalu.

Kedua-duanya bersama-sama dua tertuduh lain, L. Subramaniam, 30, dan S. Sakhthi Dasan, 26, turut berdepan dua pertuduhan lain termasuk mengurung dua warga Bangladesh, Mohd. Khalil dan Mohd. Abdullah dan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa dengan menggunakan besi.

Bagi pertuduhan kedua, Md. Ismail dan Kamalaganthan didakwa mengurung dua mangsa sama dari asrama pekerja di Forest City ke Pencawang TNB terbengkalai selama dua hari bagi maksud memeras wang mangsa yang dikurung pukul 2 pagi pada 24 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka juga didakwa menyebabkan cedera terhadap mangsa sama dengan menggunakan besi pukul 7.50 pagi pada 26 Oktober lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan di Jalan Manggis 1, Bandar Bistari Perdana, Taman Scientex, Pasir Gudang.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki tempatan itu mengaku tidak bersalah manakala tiada pengakuan direkodkan daripada Md. Ismail selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Warga Bangladesh didakwa
WARGA Bangladesh, Md. Ismail bersama tiga lagi warga tempatan di dakwa dalam kes penculikan dan pemerasan dua pekerja binaan warga Bangladesh pada 24 Oktober lalu didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. - UTUSAN ONLINE/RAJA JAAFAR ALI

Mahkamah menetapkan 26 November ini sebagai tarikh lantikan jurubahasa Bangladesh dan sebutan semula kes itu serta membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Akhbar sebelum ini melaporkan kejayaan polis menyelamat dua pekerja binaan warga Bangladesh selepas diculik sekumpulan lelaki yang turut menuntut wang tebusan berjumlah RM40,000 daripada keluarga mangsa.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, semua mangsa culik berkenaan berjaya diselamatkan polis selepas dikurung di dalam sebuah rumah pencawang terbiar dalam kawasan belukar di Jalan Manggis 1, Bandar Bestari Perdana di sini. - UTUSAN ONLINE