Video oleh AZMAN ASMAYATIM

Lopatkina Klavdiia, 23, sebelum itu dilihat tergesa-gesa keluar dari mahkamah sebaik sahaja keputusan selesai dibacakan oleh Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, dipercayai untuk melarikan diri daripada pihak media dan kira-kira lima anggota Jabatan Imigresen yang menunggunya.

Suasana di mahkamah tersebut yang terletak di tingkat tiga turut kecoh seketika ekoran tindakan wanita cantik itu yang cuba melarikan diri namun berjaya ditahan di lobi bangunan berkenaan kira-kira 10 minit kemudian.

Difahamkan, dia ditahan selama 14 hari oleh Jabatan Imigresen kerana visanya untuk ke negara ini telah tamat tempoh ketika berada di dalam tahanan.

Terdahulu, Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan yang mengemukakan tujuh saksi termasuk pegawai penyiasat dan pakar kimia memberikan maklumat bercanggah berhubung bungkusan dadah berkenaan yang menyebabkan identiti bahan kes itu boleh dipersoalkan.

Mengikut pertuduhan, Lopatkina didakwa mengedar 1,541.8 gram dadah jenis kokain di Ruang Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, kira-kira pukul 11 pagi, 31 Disember 2015.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Peguam, Datuk N. Sivananthan yang mewakili tertuduh berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Beliau turut memberitahu, anak guamnya dalam keadaan mengandung ketika ditahan dua tahun lalu dan melahirkan seorang bayi perempuan Ogos tahun lalu sebelum diserahkan kepada ibunya yang hadir ke negara ini beberapa bulan selepas itu. - UTUSAN ONLINE