Wang berjumlah RM1,260.30 berserta bank deraf RM950,000 dibawa Wan Muhammad Azri Wan Deris ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Anwar menyaman Wan Muhammad Azri, 35, pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa Ke­tua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd, itu adalah pemilik blog, www.papa­gomo.com yang menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac 2013.

Jumlah tersebut yang dibayar di Mahkamah Tinggi di sini dakwa Wan Muhammad Azri merupakan wang yang dikumpul hasil sumbangan ahli-ahli UMNO, rakan-rakan laman sosial Facebook, Twiter dan Instagram miliknya mencecah RM1 juta.

“Saya sudah bayar melalui bank deraf sebanyak RM950,000 dan wang tunai not RM1 seba­nyak RM1,260.30. Saya sedekahkan tiga sen kepada peguam Anwar. Saya minta Anwar agar tidak lagi mengganggu saya dan keluarga. Anwar berada di penjara bukan kerana saya. Tetapi kerana kes liwatnya.

“Saya menghargai sumbangan yang diberikan meskipun hanya RM1 dan tidak akan menggunakannya untuk kegunaan peribadi selain mengharapkan soko­ngan berterusan kerana banyak lagi yang hendak saya dedahkan mengenai kerja-kerja kotor pihak pembangkang,” kata Wan Muhammad Azri sejurus selepas jumlah ganti rugi itu dilunaskan.


Video oleh NORAZLITA MOHD. SIES

Peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, penyelesaian pembayaran tersebut direkodkan di hadapan Timbalan Pendaftar, Husna Dzulkifli.

Peguam J. Leela yang mewa­kili bekas Ketua Pembangkang itu selain mengesahkan perkembangan kes itu turut memaklumkan bahawa beliau perlu ha­dir ke mahkamah esok untuk menarik balik petisyen kebankrapan yang difailkan pihaknya pada 30 Jun lalu terhadap Wan Muhammad Azri.

Pada 28 Februari 2014, Hakim Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 selepas mendapati Anwar berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.

Namun begitu, jumlah penghakiman yang dituntut berserta faedah pada kadar empat peratus setahun bermula 28 Februari 2014 sehingga 27 April lalu melibatkan 1,155 hari sebanyak RM101,260.27 dan kos RM50,000 yang menjadikan jumlah terhutang setakat tarikh tersebut RM951,260.27.