Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd. Syukri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 55 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, kelima-lima suspek ditahan pada pukul 4.30 petang di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.

Tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak, namun kini telah berpindah ke jabatan lain dan bersara.

Mereka dipercayai bersubahat dengan 43 syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000.

Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016 dan kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang pilih oleh mereka.

Siasatan awal mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

Kelima-lima suspek yang mempunyai kawalan ke atas akaun BTN disyaki telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi. - UTUSAN ONLINE