Ini kerana Sijil Perakuan Memeluk Islam yang didaftarkan oleh Pendaftar Mualaf tanpa mendapat kebenaran bekas isteri atau suami boleh menyebabkan sijil itu terbatal.


Video Oleh ZAKI AMIRUDDIN
Perkara yang menjadi nas undang-undang itu dimuktamad­kan oleh panel lima hakim dike­tuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali ketika membenarkan rayuan akhir seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, 43.

Mahkamah tertinggi negara berpuas hati, Sijil Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) kepada tiga anaknya, terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat kebenaran wanita itu.

Kuorum berkenaan turut berpendapat, Pendaftar Mualaf ti­dak mematuhi peruntukan tertentu berhubung lafaz dua kalimah Syahadah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 yang menyebabkan sijil berkenaan terbatal dan tidak mempunyai kesan.

Wanita tersebut mencabar proses penukaran agama yang dilakukan oleh bekas suami mualaf, Mohd. Ridhuan Abdullah, 48, terhadap Tevi Darsiny, 21, Karan Dinish, 20, dan Prasana Diksa yang kini berusia sembilan tahun.

Tevi dan Karan ketika itu tinggal bersama ibu mereka manakala Prasana yang baru berusia 11 bulan dipelihara oleh mualaf tersebut atau nama asalnya, K. Pathmanathan. Ketiga-tiganya me­meluk Islam pada 2 April 2009.

Indira Gandhi bukan mempertikai status pengislaman ketiga-tiganya, sebaliknya mencabar kesahan proses penukaran agama sedangkan mereka tidak mengucap dua kalimah Syahadah di hadapan Pendaftar Mualaf dan tidak mendapat keizinan beliau sebagai ibu.

Guru tadika itu mengemukakan persoalan sama ada anak ha­sil perkahwinan sivil yang belum mencapai umur 18 tahun mesti mematuhi Seksyen 96(1) dan Seksyen 106(b) enakmen itu sebelum Pendaftar Mualaf boleh mendaf­tarkan pertukaran agama mereka kepada Islam.

Seksyen 96(1) antaranya me­nyatakan seseorang mesti mengucap dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab manakala Seksyen 106(b) menyatakan, kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika mendapat kebenaran bertulis daripada ibu atau bapa atau penjaga.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, fakta yang tidak dicabar ialah ketiga-tiga kanak-kanak tersebut tidak hadir di hadapan Pendaftar Mualaf untuk melafazkan dua kalimah Syahadah sebelum sijil berkenaan dikeluarkan.

Oleh yang demikian, Pendaftar Mualaf bertindak di luar bidang kuasa ketika mengeluarkan sijil itu kerana tidak mematuhi peruntukan mandatori Seksyen 96(1).

Hakim Zainun turut menekankan isu kekeluargaan bahawa pendekatan yang membenarkan anak-anak menukar agama tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapa dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan terhadap proses tumbesaran dan kebajikan mereka.

“Dalam isu yang melibatkan agama dan tumbesaran kanak-kanak, mahkamah memberi pertimbangan paling utama terhadap kebajikan mereka berdasarkan kepada keadaan kes dan keputusan mahkamah tidak bergantung kepada pegangan agama mana-mana pihak,’’ ujar Hakim Zainun.

Dalam hal ini, ujar beliau, oleh kerana hak penjagaan terhadap ketiga-tiganya telah diberikan kepada Indira Gandhi, wanita itu mempunyai pengaruh yang lebih dominan terhadap kehidupan anak-anaknya.

Selain Pengarah Jaipk, pihak responden terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Indira Gandhi berkata, walaupun gembira dengan keputusan tersebut, dia masih bersedih kerana tidak dapat bertemu Prasana yang diambil daripada jagaan ketika berusia 11 bulan, sedangkan begitu banyak perkara yang ingin dikongsi dengan anak bongsu perempuannya itu.