Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Yang Gui Zhong, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, Gui Zhong didakwa melakukan perbuatan menyebabkan kematian Cheung Zhi Hong, 22, (ketika kejadian) dengan niat hendak menyebabkan kematian atau hendak menyebabkan suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah bernombor 54, Jalan Hang Tuan 3, Taman Ungku Aminah, Skudai di sini antara pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada 28 September 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Gui Zhong bersama enam lagi rakan, S. Rajandran, 41, Loo Wei Beng, 30, Lau Kong Ping, 45, Andy Teoh Wet Lun, 25, Leong Chew Yong, 37, dan Lim Choon Ann, 25, dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah menculik Zhi Hong.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama pada pukul 10 malam 27 September 2015 hingga pukul 12 tengah malam 28 September 2015.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukan hukuman tujuh tahun penjara atau denda, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE