Hakim Mohamed Zaini Maz­lan memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh Syarafi Abu, 27, yang juga rakan sekampung mangsa gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan yang terperinci daripada barisan pihak pendakwaan dan peguam, Datuk Naran Singh.

Tambah Hakim Mohamed Zaini, da­lam pembelaan ter­tuduh, Syarafi juga telah nafikan membunuh Nursyu­hada Johari, 20, sebalik­nya mendakwa mang­sa telah membunuh dirinya sendiri.

“Keterangannya itu bagai­manapun gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan. Justeru ka­mu, Syarafi didapati salah dan disabit membunuh Nursyuhada.

“Tiada hukuman lain yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain hukuman gantung. Oleh itu, kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.

Sebaik sahaja hukuman itu dijatuhkan, Syarafi yang memakai baju T biru dan berseluar hitam dilihat memandang ahli keluarganya yang berada di galeri awam sambil tersenyum.

Seorang wanita yang dipercayai ibu tertuduh bagaimanapun menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga yang lain.

Syarafi yang bekerja di Me­laka didapati bersalah membunuh pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan tersebut kira-kira pukul 11.55 pagi 2 Februari 2015 di Kilome­ter 228.2, Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim, Mohd. Amril Johari dan Mohd. Azrul Faidz yang mengendalikan pendakwaan memanggil 16 saksi manakala pihak pembelaan menampilkan dua saksi termasuk tertuduh.

Memetik laporan akhbar, Nursyuhada dipercayai telah dikelar di leher oleh tertuduh ketika kedua-dua mereka menaiki kereta jenis Proton Perdana menghala arah selatan, pada hari kejadian.

Dalam kejadian tersebut, tertuduh dipercayai bertengkar dengan Nursyuhada dalam kereta sebelum kenderaan itu berhenti dan mangsa yang ke­luar dari tempat duduk pemandu te­lah terjatuh ke atas jalan.

Suspek tersebut kemudian­nya keluar dan menarik mang­sa ke kiri jalan sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran dan kembali semula mendapatkan telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam kereta.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian kemudian menangkap suspek dan menyerah­kannya kepada pihak polis manakala Nursyuhada disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada pukul 2 petang iaitu kira-kira dua jam selepas dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan.