Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Rino Kaswara Kasmar, 34, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagi pertuduhan pertama, Rino Kaswara didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial, Telegram "AnsharulKhilaafah Filibiin Indonesia-Filipina" yang diwujudkan oleh tertuduh sendiri di Medan Niaga, Jalan Pasar Slim River di sini 2 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan Daesh melalui kumpulan Telegram atas nama Rijal Mujahideen Minangkabau di lokasi yang sama antara 2 Mei hingga 12 Jun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 120G (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.

Pertuduhan ketiga pula, Rino Kaswara dituduh memiliki telefon bimbit jenis Lenovo yang di dalamnya mengandungi unsur-unsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan Daesh di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, Slim River di sini, 12 Jun lalu dan dituduh di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga denda serta boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkaitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syalia Ain Zainuddin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Intan Nurul Farena menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semulasementaramenungguizinmemindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - BERNAMA