Majistret Saifullah Qamar Qamar Siddique membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman kedua-dua lelaki itu sehingga 26 Mac ini.

Pegawai kanan SSM berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam manakala seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat perundingan berusia 52 tahun pula ditahan pada pukul 11 malam.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pegawai kanan itu didakwa meluluskan kertas untuk pembentangan ahli lembaga pengarah bagi projek berkenaan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek didakwa bersuhabat dengan individu-individu direman sebelum ini yang disyaki melakukan kegiatan itu sejak 2017.

Pada Isnin lalu, tiga lelaki yang terdiri daripada seorang pegawai kanan SSM dan dua pegawai syarikat terkemuka IT ditahan oleh SPRM di sekitar Ibu Negara dan Petaling Jaya.

Menurut sumber, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan telah bersubahat dengan dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai telah mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

Kesemua mereka telah direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE