Pengakuan itu dibuat Mohd. Farid Fikri Mohamad, 32, yang merupakan seorang anggota tentera berpangkat koperal dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, di hadapan Hakim Datuk Unaizah Mohd. Mohd. Farid Fikri dan Fatimah didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 1 pagi dan pukul 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu di Indera Mahkota di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa antara pukul 8 pagi dan pukul 10.30 malam, pada 31 September dan 4 Oktober lalu telah membiarkan mang­sa tanpa mengadakan sebarang persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.


Video Oleh MAHATHIR ALI

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) (a) dan Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak le­bih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan kepada hukuman di bawah subseksyen (1) juga dikenakan sesuatu bon de­ngan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan juga hendaklah melaksanakan khidmat masyarakat tidak kurang daripada 36 jam dan tidak melebihi 240 jam secara agregat.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh yang diwakili peguam, Noor Svetlana Mohd. Noordin diikat jamin RM6,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Januari tahun depan, sebutan semula kes.

Pada 7 Oktober lalu, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri dan lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Perbuatan di luar batas kemanusiaan itu dipercayai dilakukan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang dikatakan hanya kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Ekoran kejadian itu yang turut tular di media sosial, bapa tiri mangsa direman bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memutuskan perintah jagaan sementara kepada bapa kandung kanak-kanak berkenaan selama sebulan.

Kelmarin, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di sini memutuskan kanak-kanak itu terus tinggal bersama bapanya di Melaka dengan tempoh pengawasan selama tiga tahun selepas tempoh penjagaan sementara selama sebulan berakhir.