Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah di sini hari ini.


Suspek berusia 42 tahun itu direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 324 Kanun Kesek­saan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau ­benda-benda lain yang berbahaya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, pihak polis telah menahan suspek di rumahnya di Kaki Bukit, Padang Besar dekat sini pada kira-kira pukul 9 malam tadi.


Beliau bekata, sejak kejadian pada 16 November lalu, pihaknya telah melancarkan gerakan memburu suspek yang didapati cuba menyorok daripada dikesan.


Wari berkata, suspek yang merupakan seorang peniaga di Johor ini juga telah dikenal pasti mempunyai lima rekod lampau jenayah dan juga dadah.

Dalam laporan akhbar pada 16 November lalu, gara-gara berang diting­galkan bas ekspres, seorang penumpang lela­ki nekad ‘mengejar’ sebelum menikam pemandu kenderaan itu dalam kejadian di Stesen Bas Ekspres di Bukit Lagi, Kangar.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Fakhri Yahya, 33, dari Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) akibat kecederaan di bahu kiri.-UTUSAN ONLINE