Video oleh MAHATHIR ALI

Mohd. Pirus Yusof Khan, 47, didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang milik bekas guru, Ramli Hamid, 62, berjumlah RM40,380 yang dibayar kepada tertuduh bagi tujuan mengerjakan umrah.

Dia dituduh melakukan ke­sa­lahan itu di sebuah agensi pelancongan di Jalan Bukit Se­kilau di sini, antara September dan November lalu.

Sementara isterinya, Nur Sureena Intachat Abdullah, 43, pula dituduh bersubahat bersama Mohd. Pirus melakukan kesalahan tersebut di tempat dan tarikh yang sama.

Mohd. Pirus didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala isterinya dituduh di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 109 kanun serupa, yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara me­nunggu sebutan semula kes pada 9 Januari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.