Majistret P. Sarulatha menjatuhkan hukuman itu terhadap Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, setelah mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di tempat letak kereta awam di Jalan BRP 6/11, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Sekiranya gagal membayar denda masing-masing, hukuman penjara kedua-dua tertuduh boleh ditambah tujuh hari lagi.

Menurut Sarulatha, hukuman itu sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan orang awam memandangkan kes menghalang tugas dan kewajipan penjawat awam semakin berleluasa serta menjadi-jadi apatah lagi dalam kes ini, mang­sa merupakan penjawat awam wanita yang diamanahkan untuk menjalankan kuasa seperti yang diperuntukkan undang-undang.


Video MEDIA SOSIAL

Mengikut pertuduhan, pasa­ngan suami isteri itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, Nurul Ain Isa, 23, dengan niat menakut-nakutkan mangsa daripada menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam dengan sah di sisi undang-undang.

Ka Hoo dan Sit Fun yang diwakili peguam, Gabriel Susayan, didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam tersebut memohon anak guamnya dikenakan denda sahaja dengan alasan mereka mempu­nyai tiga orang anak yang masih kecil masing-­masing berumur 10 dan tujuh tahun serta seorang bayi berusia 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li, kira-kira pukul 10.24 pagi semalam, Nurul Ain selaku pengadu yang ketika itu bertugas bersama dua rakan sekerja telah mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta kerana tidak mempamerkan kupon bayaran letak kenderaan.

Namun, sebaik sahaja saman dikeluarkan, penguat kuasa itu didatangi oleh seorang wanita yang bertindak memarahinya kerana mendakwa dia telah meletakkan kupon bayaran letak kenderaan sehingga mengakibatkan pertengkaran antara mereka berdua.

Pengadu mengatakan dia sudah mengeluarkan saman dan saman tersebut tidak boleh dibatalkan. Bagaimanapun, wanita berkenaan telah membawa seorang lelaki berjumpanya yang kemudiannya terus menengking dan mahu menumbuk serta cuba menggigit jari pengadu sehingga tercetus lagi pertengkaran sebelum pengadu mengambil keputusan untuk beredar.

Namun, wanita terbabit telah menarik belakang baju pengadu dan tidak membenarkan penguat kuasa itu beredar dari situ sebelum kedua-duanya bertindak menghalang pengadu daripada beredar tetapi akhirnya pengadu berjaya melepaskan diri daripada mereka.