Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Md. Shahzada Saju, 37, kerana kes bunuh melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
 
Lelaki itu didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, 30, di sebuah bilik di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi di sini antara pukul 4.15 pagi, 3 Julai 2018 dan pukul 3.16 pagi, 5 Julai lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi manakala tertuduh diwakili peguam Leonard Anselm Gomes. 

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, mayat wanita yang dikerat enam ditemukan dalam dua beg pakaian kira-kira pukul 11.30 pagi, 5 Julai lalu  di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak.

Polis juga menemui loket dengan tulisan ‘Allah’ dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat tersebut juga terdapat kesan luka hirisan di leher yang dipercayai menggunakan senjata tajam. - UTUSAN ONLINE