Video oleh SUWARNI MOKHTAR

Situasi yang berlaku kira-kira 45 minit selepas lawatan hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes itu bermula menyebabkan wanita berusia 25 tahun itu terpaksa ditenangkan oleh peguam-peguamnya dan anggota polis yang mengiringi­nya.

Pihak pendakwaan kemudian meminta agar kerusi roda disediakan untuk Siti Aisyah dan seorang lagi tertuduh warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, bagi memudahkan prosiding lawatan diteruskan.

“Siti Aisyah tiba-tiba beritahu dia sesak nafas. Jadi, kami minta kerusi roda untuknya dan juga Thi Huong. Baju (jaket kalis peluru) berat dan keadaan pun agak sesak, jadi mungkin sebab itu dia tiba-tiba sesak nafas,” ujar Ketua Unit Bicara dan Rayu­an, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharudin Wan Ladin.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhammad Iskandar Ahmad yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu, lawatan itu terbahagi kepada tiga iaitu laluan yang digunakan oleh Thi Huong, Siti Aisyah dan Jong-nam berikutan ketiga-tiga individu terbabit menggunakan laluan berbeza pada hari kejadian.

Siti Aisyah dan Thi Huong tiba di KLIA2 kira-kira pukul 8.15 pagi didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi yang masih bebas di Balai Berlepas KLIA2 di sini kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam sesi lawatan yang dijalankan pada hari kesembilan perbicaraan kes bunuh Jong-nam, Hakim Datuk Azmi Ariffin, beberapa kakitangan mahkamah, barisan pendakwaan dan pembelaan serta kedua-dua tertuduh dibawa melawat ke beberapa lokasi kejadian.

Antaranya ialah kiosk daftar masuk (lokasi Jong-nam dikatakan disapu dengan racun agen saraf VX), tandas wanita aras tiga, Restoran Bibik Heritage dan Klinik Perubatan Menara.

Pihak terlibat turut dibawa ke hadapan sebuah kedai serbaneka di hadapan Balai Pelepasan yang menurut keterangan saksi pendakwaan kesembilan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, Thi Huong telah menyorok di sebuah tiang di hadapan premis itu sebelum membuat ‘sesuatu’ pada muka seseorang dua hari sebelum Jong-nam mati akibat agen saraf VX.

Lawatan yang bermula pada pukul 9.45 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang turut menyaksikan hakim, pendakwaan dan pembelaan serta tertuduh ‘dikepung’ oleh hampir 300 anggota polis pelbagai unit dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Sepang/KLIA termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Perbicaraan bersambung esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam.