Bagaimanapun, Fairuz Pauzan,30, terkilan dan kecewa dengan tindakan bekas suaminya itu yang gagal hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali bagi menyelesaikan masalah tersebut sekali gus menyukarkan penyelesaian kes berkenaan.

Dalam masa sama, wanita yang berasal dari Padang Besar itu juga menuntut nafkah edah sebanyak RM9,000 yang masih gagal dilunaskan pemain kebangsaan itu.

Katanya, mereka bercerai pada 18 Disember tahun selepas enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua orang cahaya mata masing-masing berumur enam dan empat tahun.

Ujarnya, Mohd. Shazwan sepatutnya hadir ke mahkamah Kangar di sini pada 21 Disember, 13 Februari dan 7 Mac lalu namun gagal berbuat demikian sekali gus menyebabkannya seperti ‘gantung tidak bertali’ dalam soal tuntutan itu.

“Kalau dia (Mohd. Shazwan) sibuk sekali pun, dia boleh hantar peguam bela, namun tidak berbuat demikian. Apabila dia tidak hadir, kes tidak berjalan dan sukar untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Saya mengemukakan tuntutan mutaah sebanyak RM500,000 dan harta sepencarian selain nafkah edah yang tidak dibayar selama tiga bulan iaitu kira-kira RM9,000. Saya tidak minta lebih, cuma berharap dia memberi kerjasama sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Fairuz yang tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata ketika meluahkan masalah itu kepada wartawan sekali lagi meminta agar Mohd. Shazwan hadir ke mahkamah pada 1 April depan.

Selain itu, katanya, daripada segi nafkah kepada anak-anak yang dibawah penjagaannya, bekas suaminya itu tidak mempunyai masalah dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.- UTUSAN ONLINE