Hakim Azman Mustaffa yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh, Syafri, 46, dikenakan tiga sebatan.


Tertuduh bersama 10 lanun lain yang telah dituduh dan dua yang masih bebas didakwa merompak secara berkumpulan kapal MT MGT-1 yang berpengkalan di Thailand dengan bersenjatakan pisau dan parang sehingga mendatangkan kerugian serta ketakutan kepada 14 kru kapal berkenaan.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika berada di kedudukan garis lintang 05 darjah 38.3 minit Utara dan garis bujur 103 darjah 11.18 minit Timur, perairan Terenganu, kira-kira pukul 8.30 malam pada 6 September lalu.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd. Suah mengikut Seksyen 395 dibacakan bersama-sama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Syafri yang ditemukan terdampar di pantai Seberang Takir di sini oleh penduduk kampung pada 21 September lalu merupakan seorang daripada tiga lanun yang lolos selepas kapal MT MGT 1 berjaya ditawan semula Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).


Tertuduh yang menyorok di dalam kapal berkenaan kemudian terjun ke dalam laut tanpa pengetahuan anggota penguatkuasa dan terapung hampir tiga minggu di perairan Terengganu.


Pada 20 September lalu, dalang kumpulan itu bersama 10 konconya dihukum penjara selama 16 tahun oleh mahkamah sama di sini selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkenaan.


Seramai tujuh daripada 11 tertuduh terbabit yang kesemuanya warga Indonesia, berusia dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun masing-masing turut dikenakan lima sebatan.-UTUSAN ONLINE