Video oleh SHARKAWI LONDING

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd Razak menolak permohonan Abd. Latif, 51, selepas membenarkan bantahan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku responden.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Sofian berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Rendah yang menggunakan budi bicara dalam menentukan tempoh reman tersebut.

“Mahkamah Rendah menggunakan budi bicara yang mematuhi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dalam membuat keputusan. Hujahan pihak pemohon mengenai tindakan Mahkamah Rendah yang tidak merekodkan alasan tempoh reman itu diberikan pula, mahkamah berpendapat ia bukan satu mandatori,” katanya.

Sejurus selepas prosiding, Abd. Latif yang memakai baju T lokap SPRM warna jingga semasa dibawa keluar mahkamah disambut oleh isterinya, Datin Nor Karmila Md. Nor, ahli keluarga dan penyokongnya yang turut melaungkan ‘Allahuakbar.’

Exco kerajaan negeri itu yang diwakili peguam, Abd. Rahim Ali, Ibrahim Haikal Razak, Adzly Manas dan Mohd. Fairuz Mahmood memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi agar tempoh reman yang dikenakan terhadapnya dipendekkan atau ditamatkan.