Selain SIS, semakan kehakiman itu turut difailkan oleh pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas membatalkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum ketika mempengerusikan panel tujuh hakim turut merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh semua pihak bahawa perayu bebas membangkitkan sebarang isu termasuk isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan keputusan itu, kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Mac tahun lalu. Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 2 Oktober depan.

Forum SIS (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai `sesat dan menyeleweng’ daripada agama Islam.

Pertubuhan itu memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’ adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. - UTUSAN ONLINE