Majistret Azizah Ahmad membenarkan semua suspek yang berumur di antara 34 hingga 49 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beserta seorang penjamin.

Sebelum ini, kesemua suspek yang masing-masing menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu direman lima hari bermula 28 Ogos lalu.

Terdahulu, semua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini oleh pegawai SPRM pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki empat kenderaan dengan memakai baju biasa dan tangan bergari.

Kesemua suspek ditahan antara pukul 11.30 pagi hingga 10 malam pada 27 Ogos lalu iaitu enam orang ditahan di Kompleks B JPM manakala timbalan ketua pengarah berpangkat JUSA B ditahan di ibu pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Turut direman selama lima hari bermula 29 Ogos lalu hingga esok berhubung kes yang sama ialah bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada Khamis lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan sejumlah wang tunai bernilai AS$12 juta (RM49.5 juta) yang dibawa masuk dari luar negara tiga bulan lalu disalah guna beberapa individu termasuk bekas Ketua Pengarah MEIO.

Azam berkata, Hasanah bersama tujuh PTD berkenaan dipercayai telah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi- UTUSAN ONLINE