Tertuduh, Mohamad Nurhadi Othman, 25, mengaku bersalah atas kesemua enam pertuduhan terhadapnya di dua Mahkamah Sesyen berasingan, di sini hari ini.

Empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azman Mustapha, tertuduh yang tinggal di Jalan Hiliran Parit Gali di sini dituduh merogol, meliwat serta melakukan oral seks terhadap mangsa berusia 22 tahun.

Azman turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh penangkapan tertuduh.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh dikenakan hukuman 20 tahun dan 12 sebatan kerana kesalahan merogol (pertuduhan pertama) diikuti 15 tahun dan lapan sebatan kerana meliwat (pertuduhan kedua), 15 tahun dan lima sebatan kerana meliwat (pertuduhan ketiga) dan 15 tahun dan lima sebatan kerana melakukan seks oral (pertuduhan keempat).

Sebelum itu, Nurhadi turut dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan atas dua pertuduhan melakukan rompakan terhadap mangsa di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, dia didakwa merompak wang tunai bernilai RM2.600 milik butik berkenaan selain merompak dua utas rantai tangan dan cincin kepunyaan mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di premis berkenaan di Jalan Bukit Kecil di sini pukul 9.56 malam hingga 10.55 malam, Rabu lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Nur Zafirah Rosli. - UTUSAN ONLINE