Tertuduh, Chan Kok Fong, 40, dan Law Hee Thian, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Kok Fong didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Hee Thiam pula satu pertuduhan mengikut seksyen sama.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan terhadap Kok Fong, dia didakwa menawar dan memberikan suapan bernilai antara RM1,000 hingga RM20,000 kepada seorang penguat kuasa sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun bunga kekwa yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Highlands.

Hee Thiam pula didakwa memberi suapan bernilai RM15,000 kepada seorang penguat kuasa sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku, Cameron Highlands.

Semua kesalahan tersebut dilakukan antara 8 April 2015 hingga 19 Mei 2015 di Coffee House Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands.

Mahkamah menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.- UTUSAN ONLINE