Mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, tempoh reman seorang lagi suspek yang merupakan Kerani di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen disambung dua hari lagi sehingga Jumaat ini.

Kesemua perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Khir Nizam Jemari.

Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 1 November lalu bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit yang membabitkan kelulusan permohonan pas lawatan sosial.

Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Menurut sumber, bekas pengarah berusia 47 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk proses rakaman percakapan pada pukul 9.40 malam, 31 Oktober lalu.

"Dua lagi penjawat awam iaitu kakitangan di Bahagian Perkeranian dan Operasi, Bahagian Visa, Pas dan Permit, Imigresen dan pemandu Bahagian Korporat Imigresen, Putrajaya masing-masing berusia 59 dan 46 tahun pula ditahan di kediaman masing-masing.

"Maklumat mendapati kesemua suspek disyaki telah menerima wang rasuah daripada ejen-ejen yang menguruskan pas lawatan sosial sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pas tersebut daripada Jabatan Imigresen pada tahun 2015 dan 2016," kata sumber itu. - UTUSAN ONLINE