Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 48, yang merupakan pembantu pasar mini mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM3,500 kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Mohd. Tarmizi Jusoh @ Tajudin di Pasar Mini GNR di alamat C-G-10-CS, Jalan Pancaindera, College Height Garden Resort, Mantin pada pukul 4 petang, 4 Ogos 2018.

Ia adalah sebagai dorongan supaya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap premis perniagaan milik isterinya iaitu warga tempatan, Rogayah Abdullah kerana tidak mempunyai lesen menjual barangan berkawal berjadual yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Akta Kawalan Bekalan 1961).

Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Khairi Abdul Karim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurdiyanah Mohd. Nawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE