Chan Kok Fong, 40, menghadapi dua pertuduhan memberi sogokan dan satu pertuduhan menawarkan suapan manakala Law Hee Thiam, 38, didakwa atas satu pertuduhan memberi suapan yang kesemuanya didakwa dilakukan di Coffee House Hotel Heritage, Tanah Rata antara pukul 6.15 petang, 8 April 2015 dan pukul 8.30 malam, 19 Mei 2015.

Mengikut pertuduhan, Kok Fong yang merupakan pengusaha kebun bunga kekwa didakwa memberikan suapan RM3,000 dan RM20,000 kepada pegawai MKN, Sanifah Yusof sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun bunga yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet.

Kok Fong turut didakwa menawarkan suapan berbentuk wang tunai RM1,000 secara ansuran bulanan kepada Sanifah agar tidak mengambil tindakan pembersih­an terhadap kebun tersebut.

Hee Thiam pula didakwa­ mem­beri suapan bernilai RM15,000 kepada Sanifah bagi tujuan sama membabitkan kebun yang diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku.

Kesemua pertuduhan terse­but­ dikemukakan mengikut Sek­syen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai su­apan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof membenarkan Kok Fong dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertu­duhan, manakala Hee Thiam pula diikat jamin RM5,000 de­ngan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 3 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh­ Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah manakala Kok Fong diwakili peguam, Simon Evansondan dan Hee Thiam pula tidak diwakili peguam.