Perintah tamat reman itu dikeluarkan Majistret Muhamad Bukhori Md. Ruslan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Sebelum ini, kedua-dua suspek itu direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari lalu sebelum dilanjutkan tiga hari lagi sehingga esok namun, dibebaskan lebih awal pada hari ini.

Turut direman berhubung kes itu ialah ejen insurans wanita, bagaimanapun tempoh remannya tidak disambung dan dibebaskan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin pada 25 Januari lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, terdahulu kedua-dua suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.05 pagi untuk prosiding tamat reman.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memaklumkan, ketiga-tiga suspek itu juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM pada Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan, pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari manakala seorang lagi suspek iaitu pengarah syarikat berusia 51 tahun pula kira-kira sejam kemudian.

Seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun pula ditahan pada pukul 2 petang.-UTUSAN ONLINE