Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim, Datuk Unaizah Mohd. membenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 7 Oktober lalu, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri dan lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Perbuatan di luar batas kemanusiaan itu dipercayai dilakukan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang dikatakan hanya kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Ekoran kejadian itu yang turut tular di media sosial, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang anggota tentera ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Lelaki berusia 32 tahun berkenaan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman berakhir sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan perundangan selanjutnya.

Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memutuskan perintah jagaan sementara kepada bapa kandung kanak-kanak berkenaan selama sebulan.

Kelmarin, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di sini memutuskan kanak-kanak itu terus tinggal bersama bapanya di Melaka dengan tempoh pengawasan selama tiga tahun selepas tempoh penjagaan sementara selama sebulan berakhir. - UTUSAN ONLINE