Video oleh HANIZA HASSAN

Huang Qiang, 35, yang berasal dari China membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ter­hadapnya selesai dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, dia di­dakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada pukul 5.30 petang, 26 September lalu.

Tertuduh yang telah mendapat taraf warganegara Malaysia itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah cenderung untuk memberikannya, jumlah yang dicadangkan tidak kurang daripada RM50,000 berserta syarat tambahan.

“Pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan de­ngan mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu tertuduh adalah jurulatih kepada mangsa.

“Bagaimanapun, sekiranya mah­`kamah memberikan jaminan, pihak kami memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, dilarang berada di dalam lingkungan kawasan latihan Bukit Jalil, pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan,” katanya.

Peguam, Mohd. Hisham Md. Nen yang mewakili Huang Qiang bagaimanapun memohon anak guamnya itu dibebaskan dengan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai keluarga dan dua anak kecil.

Dalam prosiding hari ini, peguam Cheow Wee hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.

Malah, tertuduh juga dilarang mengganggu, menghubungi dan mengugut mangsa serta saksi pendakwaan selain mengarahkan pihak media supaya tidak mendedahkan nama mangsa. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 November ini. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang jurulatih berusia 30-an direman bagi membantu siasatan kerana didakwa merogol seorang atlet wanita kebangsaan.

Lelaki itu ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa atlet berkenaan pada 29 September lalu.