Ridzuan Mat Nor, 35, yang merupakan peniaga kuih bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan empat keping wang RM100 yang diketahuinya palsu ketika berurusan dengan peniaga, Madzar Abd. Aziz di Jalan Lenggeng-Broga Ulu Beranang dekat Nilai pada pukul 11.30 pagi, 3 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dua keping wang RM100 palsu semasa berurusan dengan Rosli Ismail di simpang Jalan Kampung Tengah, Lenggeng dekat Nilai pada pukul 9.30 pagi, 9 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selepas peguamnya, A.Parthiban mengemukakan rayuan. - UTUSAN ONLINE