Ahli Parlimen Pekan terbabit membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memaklumkan mahkamah pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon mahkamah supaya tidak mengenakan wang jaminan dengan alasan Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan sebelum ini tidak menetapkan sebarang ikat jamin. 

“Setakat ini Najib sudah membayar wang jaminan lebih RM6 juta dan sekiranya pihak pendakwaan ingin mengenakan ikat jamin perkara itu harus dibawa ke Mahkamah Tinggi.

"Kami juga akan membuat bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan kepada anak guam kerana terdapat kecacatan pertuduhan yang ketara,” katanya.

Ujarnya, pihaknya akan membangkitkan perkara itu ketika kes disebut di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Najib, 66, telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang yang keseluruhan berjumlah RM47 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam tiga akaun miliknya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group, No. 55 Jalan Raja Chulan di sini pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaian Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Pihak pendakwaan kemudian bersetuju menawarkan bon peribadi (jaminan tanpa wang).

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan Najib dikenakan bon peribadi dan menetapkan 8 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Semalam, Najib dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan tersebut.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pekan itu dan akan mengemukakan semula pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE