Mahkamah Rayuan berpendapat, penglibatan kesemua rakyat asing itu merupakan sebahagian daripada konspirasi kumpulan pengganas melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong bertujuan melemahkan pertahanan negara bagi membolehkan mereka menuntut Sabah.

Salah seorang daripada mereka anak saudara kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Jamalul Kiram III, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 54, manakala empat yang lain merupakan panglima dalam pasukan Tentera Diraja Sulu (RSF) bagi kawasan Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

Serangan bersenjata yang dirancang penuh teliti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini dan mengakibatkan pertumpahan darah dan kerosakan harta benda selain meninggalkan trauma kepada pihak terlibat.

Peranan mereka bermula apabila memasuki negara ini menggunakan laluan dari Filipina ke Sabah, pendaratan di Kampung Tanduo, meletakkan sasaran di beberapa tempat berlainan, saluran komunikasi dengan kumpulan pengganas sebelum bertempur dengan pasukan keselamatan.


Video oleh NORLIZAH ABAS

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan berpendirian, rayuan sembilan pengganas itu seharusnya ditolak manakala hukuman penjara sepanjang hayat yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai tahun lalu, diketepikan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim sebulat suara menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dengan hukuman gantung.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, pencerobohan Lahad Datu pada awalnya cuba dielakkan dengan melakukan beberapa rundingan dengan pasukan bersenjata, namun gagal dan berakhir dengan keganasan.

Ujar beliau, walaupun diberi pi­lihan supaya meninggalkan Sabah, mereka memilih untuk melakukan pertumpahan darah dan oleh yang demikian, panel itu berpuas hati hukuman yang wajar dijatuhkan adalah hukuman gantung.

Hakim Mohd. Zawawi berkata, pada hemat panel itu, kes pencerobohan yang dilakukan oleh anggota kumpulan pengganas itu tidak sama dengan kes-kes keganasan yang pernah didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau turut memetik alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bahawa tiada bukti keterangan menunjukkan mereka terlibat dalam pertempuran berdarah atau membunuh anggota ke­selamatan namun perlu diambil kira penduduk kampung terlibat dipaksa keluar manakala senjata-senjata berat digunakan terma­suk M-16 dan bahan letupan.

Bagaimanapun, Hakim Mohd. Zawawi berpendirian, Mahkamah Tinggi gagal memberi pertimba­ngan bahawa pencerobohan berlaku yang menggugat kedaulatan sebuah negara sehingga mengakibatkan sembilan anggota ke­selamatan terbunuh dan mencederakan yang lain.

Panel berkenaan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan 14 individu (13 rakyat Filipina, seorang rak­yat tempatan) daripada tuduhan berkaitan insiden pencerobohan itu selepas menolak rayuan pendakwa raya.