SANUSI MOHAMMAD

Sanusi Mohammad, 31, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan itu selesai dibacakan kepadanya secara berasingan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Bagi pertuduhan pertama, Sanusi didakwa berada dalam kawasan istana berkenaan tanpa memiliki pas, kad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang diberikan kuasa di bawah perintah kawasan larangan pukul 12 tengah hari pada 1 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sanusi turut didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan di garaj kereta istana berkenaan bernilai kira-kira RM20,000 pada masa dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.


Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Dalam pada itu, di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis amphetamin dan methamphetamin di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 5 petang pada hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana kesalahan di bawah akta berkenaan tidak boleh dijamin merujuk Seksyen 8 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan ikat jamin kerana dia tidak bekerja dan mempunyai tanggungan keluarga.

Siti Hajar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Walau bagaimanapun tertuduh gagal menjelaskan ikat jamin berkenaan dan dibawa ke Pusat Reman Ulu Choh, Pontian.

Mahkamah menetapkan kes sebutan semula pada 2 April ini.