Mohd. Hafarizam, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan selepas dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, peguam terkemuka itu didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam tiga transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu RM15 juta melalui tiga keping cek Am Islamic Bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman Hafarizan, Wan & Aisha Mubarak.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan PWTC Menara Dato’ Onn Jalan Tun Ismail di sini antara 16 April 2014 dan 12 Februari 2015.

Kesemua kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). - UTUSAN ONLINE