G. Alagenran, 37, didakwa sebagai seorang pemandu lori BNV 6378 jenis Isuzu telah memandu kenderaan ter­sebut di atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lori nombor pendaftaran WD 6228 B jenis sama.

Bapa empat anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 432.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini pada pukul 7.01 petang, 7 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairulazhwa Yusrie Mohamad mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan kes.