Video oleh EZZUAN AHMAD

Tertuduh, Ahmad Sufi Ismail, 29, membuat pengakuan itu di hadapan majistret Badrul Munir Mohd Hamdy dan memohon untuk dibicarakan.

Ahmad Sufi didakwa mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, pada pukul 2.55 petang 12 Oktober lalu di kilometer 139.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan didakwa memandu secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan.

Ini mengakibatkan kemalangan dan kematian dua anggota polis trafik, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal Suresh a/l Itchang, 36.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 14 November depan. - UTUSAN ONLINE