Tertuduh, Muslim Ab. Karim 56, dan isterinya, Zaleha Mohamad, 54, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ke­semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Muslim dan Zaleha didakwa memperdagangkan untuk tujuan eksploitasi ke atas empat remaja perempuan dan empat remaja lelaki yang berusia 13 hingga 16 tahun.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di hadapan Bank Islam, Jalan Mahmood, Taman Firdaus SBJ dan Jalan Raja Perempuan Zainab II, di sini antara pukul 11.35 malam hingga 12.25 tengah malam, pada 13 dan 14 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda jika sabit kesalahan

Pendakwaan kes dikendali­kan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas manakala peguam yang mewakili tertuduh tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Sebelum ini, pasangan terbabit turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak serta Mahkamah Sesyen Kuantan dan Raub, Pahang atas pertuduhan yang sama.