Video oleh NAIMAH MOHAMED

Bagaimanapun, ‘lawatan bulanan’ ke mahkamah tersebut kali ini ditemani bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah bagi menghadapi secara bersama enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Tepat pukul 10 pa­gi, jurubahasa mahkamah mu­la membacakan pertuduhan terhadap Najib, 65, yang me­rupakan tertuduh pertama ma­nakala Mohd. Irwan Serigar, 61, dina­makan sebagai tertuduh kedua.

Mengikut pertuduhan perta­ma dan kedua, Najib atas kapa­siti Menteri Kewangan dan Mohd. Irwan Serigar selaku Ke­tua Setiausaha Perbendaha­raan, Kementerian Kewangan didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap harta berjumlah RM1.85 bilion milik Kerajaan Malaysia di Kompleks Kementerian Kewa­ngan, Putrajaya pada 21 Disember 2016.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mereka didakwa me­­la­kukan pecah amanah ter­ha­dap peruntukan ‘Belanja Me­ngurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL In­ternational Airport Berhad (KLIAB) sebanyak RM220 juta dan peruntukan ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi dan Bantuan Tunai berjumlah RM1.3 bilion’.

Pertuduhan kelima, Najib dan Mohd. Irwan Serigar didakwa me­lakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah 1.95 bi­lion yuan China (hampir RM1.3 bilion) manakala bagi pertuduhan ter­ak­hir, mereka didakwa melakukan kesalahan sama atas dana mi­lik kerajaan berjumlah RM2 bilion.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, mereka berdua didakwa me­lakukan per­buatan tersebut di tempat yang sama antara 3 Ogos dan 18 Disember 2017.

Jumlah wang yang ter­libat adalah RM6,636,065,000.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun, jika disabitkan kesalahan, Najib dan Mohd. Irwan Serigar tidak akan disebat memandangkan mereka ma­sing-masing telah berumur melebihi 50 tahun.

Hakim Azman Ahmad membenarkan setiap tertuduh di­ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin serta diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik masing-masing ke mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan wang jaminan dibayar secara ansuran dengan jumlah RM500,000 perlu dilunaskan hari ini manakala selebihnya perlu diselesaikan dalam tempoh 10 hari bermula hari ini. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 29 November ini.

Pada tarikh tersebut, pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib dan Datuk K. Kumaraendran mewakili Mohd. Irwan Serigar akan mengemukakan permohonan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.