Video oleh NUR ATHIRAH NABILAH MUSA

Meskipun begitu, Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, kelihatan tenang dan bersahaja di dalam kandang tertuduh sekalipun Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret membuat keputusan supaya lelaki tersebut tidak dibenarkan diikat jamin berikutan tiada penjamin hadir ke mahkamah.

Malah tertuduh yang tidak diwakili peguam langsung tidak membuat sebarang rayuan untuk mengurangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan yang diwa­kili Timbalan Pendakwa Raya, Khairulazhwa Yusrie Mohamad.

Muhammad Irwan sebelum itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan kese­lamatan kanak-kanak itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.

Azmil Muntapha menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes.

Selepas selesai prosiding, Muhammad Irwan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Media sebelum ini melaporkan, gurauan melampau bapa saudara menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 10 minit di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu memecahkan cermin pintu mesin basuh selepas usaha mengeluarkannya gagal.

Video kejadian itu yang berdurasi dua minit 46 saat tular dalam media sosial.