Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan Mohd. Isa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM150,000 de­ngan dua orang penjamin.

Terdahulu, Mohd. Isa, 68, yang diwakili enam peguam tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 9.50 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna oren.

Ketibaannya disambut oleh lebih 100 penyokong yang keba­nyakannya telah menunggu sejak pukul 8 pagi.

Dalam pada itu, menurut peguamnya, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Mohd. Isa dibebaskan selepas SPRM berpuas hati de­ngan kerjasama penuh yang diberikan sepanjang tempoh siasatan dibuat.

“Pihak SPRM berpuas hati de­ngan kerjasama yang diberikan dan tidak memohon lanjutan tempoh reman walaupun pada mulanya mereka meminta wang jaminan yang dikenakan seba­nyak RM1 juta.

“Namun, dengan budi bicara pihak mahkamah, jumlah jaminan tersebut dikurangkan kepada RM150,000 berdasarkan kerjasama yang diberikan beliau sepanjang tempoh siasatan dan pernah berjasa pada negara serta perlu melaksanakan tugas lain sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Mohd. Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol dijangka dipanggil semula se­bagai saksi selepas ini sekiranya terdapat individu yang akan didakwa berhubung pembelian hotel tersebut.

Selain Khairul Anwar, peguam bela lain ialah Datuk K. Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Datuk N. Sivananthan, Ridha Ahdar Subry dan Lavina Kumaraendran.

Sebelum ini, Mohd. Isa ditahan ketika hadir di Ibu pejabat SPRM pada 15 Ogos lalu bagi memberi keterangan lanjut berhubung pembelian hotel di London oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015.

Susulan penahanan itu, beliau ditahan reman selama lima hari dan tempoh tersebut tamat hari ini.