Video Oleh NUR ATHIRAH NABILAH MUSA

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat teguran sedemikian terhadap Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas pelakon filem Lagenda Budak Setan dan Tombirou itu telah membuat kenyataan baru-baru ini.

“Mahkamah ingin memberi peringatan kepada tertuduh sebab kes ini sudah dituduh di mahkamah dan mengambil kira bahawa tertuduh ada mengeluarkan kenyataan sebelum ini. Apa-apa perkara yang dibangkitkan perlu dikemukakan kepada mahkamah dan boleh dipertimbangkan untuk perbicaraan nanti,” katanya yang me­netapkan 7 Mei ini untuk pengurusan kes.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan secara langsung atau tidak langsung berkemungkinan ada kaitan dengan pertuduhan.

“Elak daripada mem­buat apa-apa komen selagi kes ini masih dalam mahkamah,” tegas Nor 
Ariffin.

Peguam, Faizul Mohd. Nasir yang mewakili pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu berkata, pihaknya memohon maaf dan berterima kasih atas teguran tersebut.

“Baru-baru ini anak guam kami ada mengadakan sidang akhbar namun pihak kami tidak menyentuh secara langsung berkaitan pertuduhan yang di­hadapi dan tiada sebarang subjudis (kacau ganggu kes yang belum selesai perbicaraan),” katanya.

Terdahulu, suami kepada aktres jelita, Datin Diana Danielle, 27, hadir ke mahkamah dengan ditemani dua adik lelakinya, Fadzil Bahari yang merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin dan Dr. Anis Anwar. Pelakon tersebut kemudian me­ninggalkan kompleks mahkamah kira-kira pukul 10 pagi tanpa memberi sebarang komen kepada pemberita dan dilihat hanya tersenyum.

Pada 16 Januari lalu, pelakon itu yang baru menerima gelaran Datuk pada Disember tahun lalu berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh de­ngan mengeluarkan perkataan-perkataan-perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Kedua-dua pertuduhan mencederakan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 353 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu 11-nor-tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 4.30 petang, tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 28 Februari lalu, Farid Kamil mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan situasi sebenar semasa di tahan pihak polis di Setia Alam, Shah Alam dan dalam pertemuan tersebut, pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu mendedahkan individu sebenar yang memasukkan dadah di dalam minumannya selain mendakwa dipukul anggota polis semasa dalam tahanan.