Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili tertuduh pertama dalam kes pembunuhan misteri itu dan juga hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin.

Ketika menyampaikan penghakimannya, Ab Karim berkata, mahkamah mengambil kira seriusnya pertuduhan ke atas Samirah, 44, yang mana hukuman adalah gantung mandatori, selain, ada kemungkinan saksi akan diganggu.

“Dalam kes ini pembunuhan membabitkan dalam keluarga dan hubungan saksi adalah ahli keluarga kemungkinan besar untuk tertuduh mengganggu saksi tentunya wujud.

“Kalau nak dikatakan saksi pergi ke penjara ia tidak terpakai kerana penjara tertakluk kepada peraturan untuk pelawat. Pada pandangan mahkamah berdasarkan keadaan dan saksi, tentu akan berlaku. Sama ada berlaku atau tidak itu bukan soalnya,” katanya.

Ab Hakim seterusnya menetapkan 21 Jun ini untuk tarikh sebutan bagi pengurusan kes manakala perbicaraan akan bermula pada 3 September ini.

Pada 12 Mac lalu, Samirah serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh suaminya, Nazrin Hassan.

Allahyarham ditemukan terbakar dalam bilik tidur dan kes yang pada mulanya diklasifikasikan mati mengejut disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba mendapati ada unsur khianat.

Mayat Allahyarham juga terpaksa melalui dua kali bedah siasat dan hasil bedah siasat kali kedua mendapati ada kecederaan di kepala dan leher Nazrin yang dipercayai menjadi punca kematiannya. - UTUSAN ONLINE