G. Alagenran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa sebagai seorang pemandu lori BNV 6378 jenis Isuzu telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lori nombor pendaftaran WD 6228 B jenis sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 432.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini pada pukul 7.01 petang, 7 Oktober lalu.

 

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Dalam pada itu, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Shah Alam petang ini untuk pelbagai kesalahan trafik.

Sebelum ini media melaporkan, dua lori bertembung apabila lori tiga tan jenis Isuzu dipandu seorang lelaki melawan arus sejauh tiga kilometer di lorong tengah lebuh raya tersebut.

Rakaman video kejadian berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan sebuah lori berwarna putih memandu melawan arus dan kemudian melanggar sebuah lagi lori lain tular dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE