Abd. Latif dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim beserta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Abd. Latif, 51, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram, transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu pelupusan wang dan sembilan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM17.59 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 11 Disember 2013 dan 19 Disember tahun lalu di beberapa buah bank di bandar raya ini.

Sementara itu, Ahmad Fauzan Hatim, 25, menghadapi empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM735,000 yang didakwa dilakukan antara 18 Julai 2014 dan 23 Disember 2016 di sebuah bank di Johor Jaya di sini.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Amir Shariffuddin, 44, pula didakwa atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM17.455 juta yang didakwa dilakukan antara 15 November 2013 dan 14 Disember 2016 di sebuah bank di Larkin Perdana di sini.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Mohd. Fauzi membenarkan Abd. Latif dibebaskan dengan jaminan RM500,000, Ahmad Fauzan Hatim RM200,000 dan Amir Shariffuddin RM400,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini, sebutan semula kes terhadap mereka.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Abu Hanifah, manakala Abd. Latif dan Ahmad Fauzan Hatim diwakili barisan peguam dike­tuai oleh Datuk Hasnal Rezua Merican manakala Amir Shariffuddin pula diwakili peguam, Azrul Z. Stork.

Pada 19 April lalu, Abd. Latif dan Amir Shariffuddin mengaku tidak bersalah ke atas 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai berjumlah RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen di sini.

Amir Shariffuddin didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif bagi mendapatkan kelulusan pelepasan rumah lot bumiputera dan pengurangan bayaran sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor.

Abd. Latif pula didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk me­lakukan perbuatan sama.