Video oleh DIANA AZIS

Majistret Mohd. Zaki Abd. Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan, pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan kejadian, Azizan di­dakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Francis Pereira yang mewakili Azizan, 44, berkata, anak guamnya dilepaskan setelah pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah per­kembangan baharu keputusan AGC untuk menarik balik kes tersebut.

“Berikutan itu, majistret yang bersidang telah membebaskan Cikgu Azizan dan tiada kete­rangan diambil kerana AGC te­lah menarik balik (pertuduhan).

“Mereka tidak memberitahu alasan dan tidak diwajibkan memberikan alasan kepada kita (pihak pembelaan),” katanya ketika ditemui.

Menurut Pereira, keputusan untuk menuduh atau menarik balik sebarang pertuduhan me­rupakan hak prerogatif AGC.

Katanya, jika ibu bapa pelajar tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, mereka perlu membuat tindakan lain.

“Ini bukan kes sivil, ini kes berunsur jenayah, justeru semua prerogatif terletak kepada Peguam Negara dan itu adalah hak beliau untuk menarik balik,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban bagi memberi sokongan moral kepadanya sejak pukul 8 pagi.

Mereka turut bersorak apabila Cikgu Azizan keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dan dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.