Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini  bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia 41 tahun.

Siasatan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh binatang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada pukul 10.15 pagi dan dia yang diiringi anggota polis keluar dari bilik reman pada pukul 11 pagi. 

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam dua individu yang membunuh seekor kucing bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin mengering pakaian di sebuah pusat dobi layan diri di Taman Gombak Ria di sini.

Perbuatan kejam tersebut seterusnya tersebar dalam media sosial dan menerima kecaman daripada masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE